Ada beberapa ungkapan penting yang dibuat oleh Abu Hasan Asy’ari terutamanya ketika beliau mengisytiharkan dirinya keluar daripada Muktazilah. Pertama: Manhaj dan dasar agama yang kita berpegang dengannya ialah Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Nabi kita Muhammad (s.a.w.), dan apa yang diriwayatkan oleh para Sahabat, Tabiin dan Imam-imam Hadith. Kita berpegang dengan semuanya ini, dan juga kita berpegang dengan apa yang dikatakan oleh Abdullah Ahmad bin Hanbal, dan sesiapa yang menentang atau menyalahi pendapatnya, maka dia menyalahi dasar-dasar di atas. Kedua, ungkapan beliau yang dijelaskan di dalam bukunya Istihsan al-Khaud Fi Ilm Kalam iaitu sesungguhnya ada segolongan manusia yang menjadikan kejahilan sebagai asas pemikiran. Mereka tidak mahu berfikir dan menganalisis tentang masalah agama.
Mereka lebih cenderung kepada sikap bertaklid. Mereka mengkritik sesiapa jua yang menganalisis tentang dasar-dasar agama dan menganggapnya menyeleweng. Menurut beliau lagi, dalam menentukan masalah agama hendaklah dikembalikan kepada dasar-dasarnya yang disampaikan menerusi wahyu. Begitu juga masalah yang berkaitan dengan akal dan deria hendaklah dikembalikan kepada sumbernya. Ia tidak boleh dicampur-adukkan di antara masalah akliah dengan masalah samiiyah, begitulah juga sebaliknya.
Di dalam ungkapan pertama di atas, Abu Hasan Asy’ari jelas tidak mahu memberikan kebebasan kepada akal secara mutlak sekalipun untuk memperkukuhkan agama ataupun aqidah. Oleh itu beliau menekankan tentang perlunya umat Islam kembali berpegang kepada nas-nas al-Quran tanpa membuat takwil yang jauh. Menurut Asy’ari, manhaj Ahli Salaf merupakan sebaik-baik manhaj bagi umat Islam untuk diikuti, dan Imam Ahmad bin Hanbal sebaik-baik contoh ikutan bagi menghayati manhaj tersebut. Dengan kata-kata lain Abu Hasan Asy’ari berusaha bersungguh-sungguh menghidupkan kembali manhaj Ahli Salaf yang telah diterima dan dihayati oleh masyarakat Islam sebelum bertapaknya aliran Muktazilah.
Dalam ungkapan keduanya kita dapati Asy’ari bersikap lebih terbuka dan menentang fikiran yang jumud serta taklid buta. Walaupun beliau mengajak masyarakat Islam kembali kepada manhaj Ahli Salaf, beliau juga mengajak masyarakat Islam memberikan perhatian dan tempat kepada peranan akal dalam mengukuhkan aqidah yang dibawa oleh nusus. Beliau berpendapat bahawa dengan adanya panduan antara akal dengan naqal itu lebih mudah untuk meningkatkan aqidah Islam kepada masyarakat Islam dan mudah pula untuk disebarkan kepada masyarakat bukan Islam.
Walaupun demikian Abu Hasan Asy’ari tetap mengutamakan nusus daripada akal kerana nusus al-Quran lebih berwibawa dan muktamad. Oleh itu sesuatu yang disampaikan oleh nusus al-Quran mestilah diterima dan dipatuhi sementara peranan akal hanyalah mengukuhkan sesuatu yang disampaikan oleh nusus. Dengan kata-kata lain, peranan akal adalah semata-mata berkhidmat kepada nusus untuk menjelaskan hakikat kebenaran aqidah. Sebarang kesamaran yang timbul antara kehendak nusus dengan kehendak akal, nusus hendaklah diutamakan. Konsep dan prinsip ini di dalam manhaj Abu Hasan Asy’ari tidak berubah sehinggalah sekarang walaupun tidak dinafikan terdapat sedikit sebanyak perubahan dalam ciri-ciri kecil yang dilakukan oleh pengikut-pengikut beliau kemudiannya.
Berasaskan kepada kedua-dua ungkapan Asy’ari, maka nyatalah manhaj beliau mempunyai ciri tersendiri dan berbeza daripada manhaj Muktazilah yang memberikan keutamaan kepada akal. Tetapi terdapat pengkaji-pengkaji, yang hanya melihat dari sudut tertentu sahaja atau mendasarkan kajian mereka kepada beberapa buah buku Asy’ari sahaja, terutama buku-buku yang ditulis oleh beliau pada peringkat awal, lebih cenderung menyamakan manhaj Abu Hasan Asy’ari dengan manhaj Ahli Salaf dan mengkategorikan beliau ke dalam golongan Salaf.
Berdasarkan kepada kedua-dua sikap yang ditunjukkan oleh Abu Hasan Asy’ari, jelas kepada kita betapa kuatnya beliau berpegang dengan nusus al-Quran yang juga merupakan asas pendekatan Ahli Salaf. Di samping itu beliau mengakui peranan akal dalam mengisbatkan aqidah. Sikap beliau ini boleh dianggap satu pendekatan baru dalam pemikiran aqidah Islam kerana ia berorientasikan kesederhanaan antara aliran yang terlalu berpegang kepada zahir nusus agama dengan aliran yang terlalu mengutamakan akal.
Sikap beliau ini juga tidaklah boleh ditafsirkan bahawa beliau tidak mempunyai pendirian atau terdapatnya unsur-unsur kontradiksi di dalam pemikiran beliau. Ungkapan Abu Hasan Asy’ari yang pertama menjelaskan iltizam beliau dengan al-Quran dan al-Sunnah, sementara ungkapan beliau yang kedua menggambarkan beliau menerima kewibawaan akal dalam mengisbatkan kebenaran apa yang dibawa oleh nas-nas al-Quran.