Menurut Dr. Ahmad Mahmud Subhi, penganalisis-penganalisis pemikiran aqidah Islam berpendapat bahawa antara faktor penting yang menyebabkan pendekatan Abu Hasan Asy’ari mudah diterima oleh masyarakat Islam ialah:
i) Dasar kesederhanaan manhaj Asya’irah
Dasar ini telah dapat memberi ketenangan terhadap keresahan yang melanda masyarakat. Islam akibat daripada pertembungan antara dua aliran yang sangat berbeza iaitu aliran penafian yang mutlak dan aliran pengharusan yang mutlak. Pertembungan ini juga telah menimbulkan berbagai-bagai bencana dan fitnah di dalam masyarakat Islam pada zaman itu. Maka di dalam keadaan masyarakat Islam yang sangat tertekan itu, sifat kesedaran menjadi alternatif kepada masyarakat Islam dewasa itu. Maka kelahiran aliran Asya’irah khususnya pada abad keempat hijrah sangatlah sesuai dan kena pada masanya.
ii) Hubungan baik
Hubungan baik wujud di antara tokoh-tokoh Asya’ariah dengan Fuqaha, Ahli Hadith dan juga Ahli Tasawwuf, dan ulama-ulama mazhab Syafii menjadi golongan pertama menerima pendekatan Asya’ariah. Ini mungkin disebabkan Abu Hasan Asy’ari dalam fiqhnya bermazhabkan Syafii. Begitu juga kebanyakan tokoh-tokoh Asya’riah adalah bermazhab Syafii. Di samping itu pula memang terdapat persamaan dasar antara kedua-dua aliran ini iaitu dasar kesederhanaan. Imam Syafii juga dianggap tokoh yang mengambil sikap sederhana di antara Imam Malik yang mengutamakan kehendak Hadith di dalam membuat hukum, dan Imam Abu Hanifah yang banyak menggunakan akal.
Antara tokoh Sufi pula yang mendokong pendekatan Asya’ariah dalam masalah aqidah ialah Abu 'All al-Daqaq (w. 405 H.), Abu Na'im al-Asfihani (w. 430 H.) dan Abu Kasim al-Qusyairi (w. 465 H.). Selain daripada tokoh-tokoh penganut mazhab Syafii terdapat juga tokoh-tokoh daripada mazhab Maliki yang mendokong aliran Asya’riah dalam aqidah dan mereka juga memainkan peranan penting menyebarkan aliran Asya’riah seperti Ibn Tumart (w. 534 H.).
iii) Wujudnya aliran sederhana yang sezaman
Aliran sederhana ini bukan sahaja dipelopori oleh Abu Hasan Asy’ari tetapi terdapat beberapa tokoh lain turut memperjuangkan konsep ini di dalam masyarakat Islam pada masa itu. Antaranya ialah Abu Jaafar al-Tahawi (w. 321 H.) di Mesir, dan Abu Mansur al-Maturidi (w. 323 H.) di Samarkand. Ketiga-tiga tokoh ini iaitu Abu Hasan Asya’ari, Abu Mansur al-Maturidi dan Abu Jaafar al-Tahawi mempunyai pandangan dan pemikiran yang hampir sealiran dalam menyelesaikan masalah aqidah.
Faktor kewujudan aliran sederhana di Mesir dan di Samarkand telah membantu aliran Abu Hasan Asy’ari di Iraq berkembang dengan pesatnya ke seluruh dunia Islam. Di samping faktor-faktor di atas aliran Asya’riah juga didokong oleh tokoh-tokoh yang sangat berwibawa dalam ilmu dan pengaruh seperti Abu Bakar al-Baqillani (w.403 H.), Abdul Qahir al-Baghdadi, (w. 429 H.), Imam al-Haramain al-Juwayni (478 H.), dan Abu Hamid al-Ghazali. (505 H.).
Kesimpulan ringkasnya, al-Asya'irah sepertimana yang dikhabarkan dalam Al- Mausuah Al-Muyassarah Fi Al-Adyan wa Al-Mazahib Al-Mu’asarah, mereka adalah golongan ulama kalam dalam kalangan ahlu sunnah wal jamaah, yang menisbahkan diri mereka kepada Imam Abu Al-Hasan Al-Asy' ari yang telah pun meninggalkan fahaman golongan muktazilah. Golongan Al-Asya'irah menjadikan dalil-dalil dan pembuktian-pembuktian secara aqli (dengan logik akal yang sihat) dan kalamiyah (tersusun secara teratur dengan ilmu mantik dan ilmu bahasa) sebagai wasilah dalam berhujah dengan para penentangnya dari kalangan golongan muktazilah, ahli falsafah dan sebagainya untuk menetapkan hakikat agama dan aqidah Islamiyyah.
